RSS

Saturday, May 30, 2009

Wahai Jiwa Yang Tenang~~~


P/S:Post ni diambil dr blog teman saya, Syaidatul Syakila yg berada di Cairo. Harap kita sama dpt manfaat drnya. Tq, Akie!!! [link]

********
Assalamualaikum wbt.

Allahu akbar,Allahu akbar!


Kedengaran laungan azan subuh berkumandang. Memuji-muji nama Tuhannya dan memanggil-manggil hambaNya untuk menunaikan kewajipan yang satu itu. Sumayyah memejamkan matanya menghayati setiap bait kalimah suci yang dilaungkan oleh mu'azzin sambil mulutnya terkumat-kamit menjawab azan.


--Sabda Rasulullah s.a.w :“Apabila kamu mendengar suara azan, maka ucapkanlah sepertimana yang diucapkan oleh muazzin itu sendiri.”--


Azan yang kedengaran dari masid-masjid yang jarak antara satunya tidak kurang dari satu kilometer menggemakan ruang angkasa. Dia seperti tenggelam di dunia sendiri. Menghayati ketenangan subuh nan hening.


Assolatu khairu min al-naum..Assolatu khairu min al-naum..


Matanya tercelik. Ya, solat itu lebih baik daripada tidur. Bangkitlah! Bangkitlah semua! Bangkitlah demi meramaikan masjid-masjid dan berjemaah. Agar musuh-musuh Allah gerun dan gentar melihatmu yang bersusun elok berbaris-baris di dalam saf. Simbolik kepada kukuhnya benteng Islam oleh para mujahid yang merindukan syahid yang abadi. Yang mendamba syurga-Nya yang cantik menghijau dan mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dan bidadari-bidadari yang bermata indah laksana mutiara yang tersimpan baik.


--"Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta (tetap) melaksanakan solat, menunaikn zakat dan tidak takut (kepada apapun) kecuali Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk" (at-Taubah : 18)--


--Ibnu Abbas r.a. berkata: Barangsiapa mendengar suara muazzin, sedangkan dia tiada menjawabnya (menurut pergi sembahyang berjemaah), nyatalah ia tiada mencintai kebaikan, dan tentu sekali kebaikan juga tidak akan mencintainya.--


Allahu akbar, Allahu akbar!
Laa ilaha illallah..


Sumayyah menadah tangan berdoa.


--“Ya Allah, Tuhannya doa yang sempurna ini, dan juga solat yang berdiri ini. Kurniakanlah Nabi Muhammad kedudukan yang tinggi serta kehormatan. Dan bangkitkanlah dia pada tempat yang terpuji (Maqam Mahmud) yang Engkau janjikan baginya.”--


Dia kemudian bangun menunaikan solat sunat qobliyah dua rakaat. Solat sunat yang lebih baik dari dunia dan seluruh isinya. Memohon dalam doanya agar hari-hari yang dilaluinya setenang subuh yang penuh dengan rahmat Al-Mutakbbir.


"Sudah siap semua?," Atiqah sahabatnya bertanya pada ahli beitnya yang lain. Sejadah-sejadah yang siap terbentang menanti dahi-dahi yang akan bertemu dengan mereka ketika sujud.


--“..Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari karunia Allah dan keredhaan-Nya. Pada wajah mereka tampak tanda-tanda bekas sujud..” (al-Fath: 29)--


Mereka bersiap sedia untuk berjemaah bersama seperti lazimnya.


--Sabda Rasulullah s.a.w :“Sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang bersendiri dengan 27 darjat.”--


Atiqah melantunkan iqamah sementara yang lain bersiap siaga berdiri dengan betul untuk menunaikan solat.


"Allahu akbar!"


Sumayyah mengimami dengan tetib. Selepas Al-Fatihah dibacakannya surah as-Shams pada rakaat pertama seperti mengalu-alukan kedatangan mentari dan siang. Suaranya gemersik, bacaannya sungguh mengasyikkan. Tajwid dan tartilnya sempurna. Mendamaikan jiwa sesiapa sahaja yang mendengarnya. Hatinya penuh khusyuk menghayati bait-bait kalamullah yang agung.


"Assalamualaikum warahmatullah.."


--"Sungguh beruntung orang-orang beriman. (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya" (al-Mu'minun : 1-2)--


Mulutnya terkumat-kamit beristighfar selepas menyudahkan salam. Sumayyah mengimami bacaan ma'thurat yang mereka lazimi setiap hari seusai solat subuh dan solat asar.


--"Maka bersabarlah engkau (Muhammad) terhadap apa yang mereka katakan, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenam. Dan bertasbihlah kepada-Nya pada malam hari dan setiap selesai solat " (Qaf:39-40)--


Sumayyah membacakan doa. Biarpun dalam bahasa arab, bacaannya penuh khusyuk dengan penuh pengertian dan pemahamam terhadap apa yang diminta pada Rabbnya. Sebak mencengkam dada setiap jemaah. Dan Sumayyah tetap kalah dengan airmatanya.


"Taqabbalallahu minna wa minkum. Taqabbal Ya Karim.."


Mereka bersalam dan berpelukan sambil doa meniti di bibir-bibir mereka.


"Allahumaghfirli zunubi wal li ukhti. Wahai Allah, ampunilah dosaku dan saudaraku"


Sumayyah mencapai mushaf coklat kesayangnnya. Diselaknya pada mukasurat yang berpenanda. Salah satu surah kegemarannya yang acapkali dibaca setiap pagi. Surah ke 89, Surah al-Fajr.


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

1.Demi fajar.

2.Demi malam yang sepuluh.

3.Demi yang genap dan yang ganjil.

4.Demi malam apabila berlalu.


Bacaannya seiring dengan kicauan burung yang mula keluar mencari rezeki. Hatinya rasa tenang.

Ayat-ayat terakhir surah al-Fajr dibaca berulang-ulang kali.

27.Wahai jiwa yang tenang! 

28.Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya.

29.Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu.

30.Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.



Wahai jiwa yang tenang!

Hatinya bagai terusik tatkala membacakan ayat ini. Seolah-olah dipanggil dengan penuh kemesraan. Memanggil-manggil hamba-Nya yang tenggelam di lautan cinta-Nya dengan penuh keredhaan. Adakah dia turut terpanggil?


Wahai jiwa yang tenang! 

Tenangkah jiwanya?

Tenangkah jiwanya tatkala berdepan dengan qada' dan qadar Rabbnya.
Tenangkah jiwanya tatkala diuji dengan kesusahan dan kesempitan.
Tenangkah jiwanya takala diuji dengan kesenangan dan kenikmatan.
Tenangkah jiwanya tatkala diuji dengan kekecewaan dan kegagalan.
Tenangkah jiwanya tatkala diseru untuk menunaikan kewajipan yang terpundak di bahunya.
Tenangkah jiwanya?


Wahai jiwa yang tenang!

Yang sentiasa redha akan ketentuan Al-Qahar..
Yang sentiasa yakin akan janji-janji Ar-Rahman..
Yang sentiasa berteduh di bawah lembayung Ar-Rahim..


Wahai jiwa yang tenang!

Yang sentiasa teguh iman dan ketaatannya pada Al-Khaliq..
Yang sentiasa bergantung harap pada Al-Muhaimin..
Yang sentiasa merindui syurgaNya yang di bawahnya mengalir sungai-sungai..
Syurga yang menjanjikan ketenangan yang takkan pernah padam..
Syurga yang akan kekal di dalamnya selama-lamanya..


Wahai jiwa yang tenang!
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya..

Sodaqallahul azim..


1 cakap2:

Wamoshi said...

yep..da lost kontek kn? :)
my life mcm ni la..
still mencari hala tuju..
kerjaya mahupun matlamat hidup..
aku ibarat lost dlm prjuangan.. :|
so how urs?